Maszlee Malik (Pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan,UIAM)
Antara
dilemma yang dihadapi oleh anak-anak muda masakini ialah sukarnya untuk
mengawal nafsu yang bergelora. Dunia maklumat yang tidak bersempadan
telah menyebabkan nafsu anak-anak muda kita semakin menggila. Samada di
dalam bidang hiburan, mahupun di dalam ruangan berita sekalipun, unsur
pembangkit nafsu tetap berleluasa. Fenomena globalisasi juga turut
menyumbang kepada pemaksaan ke atas anak-anak muda untuk menerima
budaya yang dipromosikan oleh sesetengah pihak. Bagi yang lemah iman
dan lemah akal pemikiran, mudahlah mereka dihanyutkan oleh arus
hedonisme dan liberalisme. Bagi yang masih ingin mempertahankan
keimanan serta nilai murni di dalam diri, dilemma yang mereka hadapi
semakin parah.
Di antara budaya yang dipaksakan ke atas anak-anak
muda kita ialah budaya "coupling" (berpacaran) dan "sex before
marriage" (seks pra-nikah). Bukanlah sesuatu yang ganjil jika ramai di
antara anak-anak muda akan berasa janggal dan terasing jika mendapati
diri mereka tidak mempunyai teman lelaki istimewa dan teman wanita
istimewa. Seseorang remaja akan terasa seperti makhluk asing di bumi
jika mereka tidak bergaul bebas dengan rakan-rakan berlainan jantina.
Bagi anak-anak yang dibesarkan di sekolah-sekolah agama atau madrasah,
mereka mungkin masih lagi selamat. Keselamatan ini, walau bagaimanapun
akan segera hilang apabila mereka mula melangkah ke gerbang-gerbang
IPT. Tidak kiralah IPTA mahupun IPTS. Kebebasan dan juga pengaruh rakan
dan sekitaran akan segera membuatkan mereka menerima kejutan budaya.
Samada mereka akan larut dan terheret oleh pengaruh sekitaran, ataupun
mereka akan menjadi begitu rigid, keras dan tidak bertolak ansur.
Inilah realiti kehidupan anak-anak muda di IPT-IPT.
Sepertimana yang
pernah diutarakan sebelum ini, solusi bagi fenomena yang begitu
menggila ini ialah "nikah". Hayat para pelajar di IPT tidak patut
disia-siakan. Waktu yang mereka habiskan untuk berpacaran dan juga
melayan lamunan, akan lebih terjaga jika mereka telah bernikah.
Segalanya akan menjadi halal, dan masa tidak akan terbuang sia-sia.
Segalanya mendapat keberkatan, dan tiada kerungsingan dan juga ketidak
tentuan perasaan. Jika persoalan natijah selepas pernikahan yang
menjadi persoalannya, maka solusi "nikah khitbah" telah dicadangkan.
Mudah sahaja, selama hayat mereka di IPT, mereka tidak perlu
mengandung, tidak perlu melahirkan anak, tidak perlu untuk tinggal di
dalam sebuah rumah yang khusus, dan tidak perlu menjalani kehidupan
seperti pasangan suami-isteri yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka
hidup sebagai suami isteri di dalam segala keterbatasan yang ada, yang
penting hubungan tersebut halal dan mereka tidak melakukan maksiat.
Walau
bagaimanapun, ide ini tidak semudah yang diutarakan. Kebanyakan komen
dan respon yang diterima adalah bersifat negatif. Bukanlah para remaja
IPT yang bersifat negatif, tetapi ibu bapa yang bersikap negatif.
Memang benar, tanpa sokongan ibu bapa, ide nikah khitbah untuk
menyelamatkan anak-anak muda daripada berzina ini tidak mudah. Ibu bapa
di Malaysia masih lagi mempunyai pemikiran yang kolot dan klasik.
Mereka masih lagi menggunakan sifir lama dan lapuk.Mereka sanggup
menjunjung adat yang kolot walaupun terpaksa membiarkan anak-anak dara
dan teruna mereka bergelumang di dalam dosa. Jika hendak berkahwin,
tunggu selepas habis belajar. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga
mendapat pekerjaan tetap. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat
ijazah. Bagaimana pula sementara menunggu hendak habis belajar dan
hendak mendapatkan pekerjaan tetap?
Si teruna dan dara tiap-tiap
hari bersua muka. Peluang untuk bertemu dan bersama itu jauh lebih
besar daripada tidak bertemu. Dorongan media massa, media eletronik,
persekitaran dan juga budaya setempat mendorong mereka untuk terus
bertemu. Oleh kerana kita di negara yang mana rakyat masih lagi bebas
untuk melakukan maksiat, maka peluang untuk melakukan maksiat itu
terbuka lebih luas. Apakah ibu bapa yang kolot dan mundur pemikiran itu
mengira anak-anak muda mereka malaikat yang tidak punya nafsu?, atau
mungkin mereka anggap anak-anak muda mereka mempunyai "fire wall" yang
begitu utuh?, atau juga mereka sangkakan mereka boleh mengawal "nafsu"
anak-anak muda mereka dari jarak jauh (remote control)?
Bagi ibu
bapa, sepatutnya mereka berusaha memahami realiti dan tuntutan semasa.
Kita hidup di zaman yang dipenuhi dengan kefasadan dan keruntuhan
moral. Peluang untuk melakukan dosa di bumi Malaysia ini jauh lebih
banyak daripada peluang untuk menghindarinya. Ruang-ruang di media
sentiasa diwarnai dengan warna nafsu dan juga maksiat. Anak-anak mereka
yang tinggal jauh dari pandangan, sedang mengecapi kebebasan yang tidak
terbatas. Tanpa iman, tanpa nilai dan tanpa sifat malu yang tinggi,
mereka bebas melakukan apa sahaja. Jangan tertipu dengan perwatakan
mereka di rumah!. Anak-anak muda akan mempunyai sikap dan peribadi yang
berbeza sewaktu di rumah dan sewaktu berada bersama ahli keluarga.
Bahkan, dalam banyak keadaan, mereka mempunyai sikap yang berbeza
sewaktu di hadapan guru atau para pensyarah. Ingatlah, syaitan tidak
akan melepaskan peluang untuk mendorong anak-anak Adam untuk melakukan
perkara yang terlarang. Itulah tugas syaitan.
Jika para ibu bapa
mempunyai tahap kepercayaan yang begitu tinggi kepada anak-anak mereka,
itu adalah sesuatu yang baik. Namun, sangkaan yang baik semata-mata
tidak cukup. Mereka perlu memahami realiti, anak-anak itu tinggal jauh
di mata. Suasana persekitaran tidak membantu. Tarikan naluri orang muda
adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, hatta di kalangan siswa dan
siswi institusi pengajian berorientasikan agama. Jikalaulah mereka
sudah mempunyai perubahan pada tingkah langku dan perlakuan seharian,
maka selidikilah. Jika mereka sudah mempunyai pasangan, berbuallah
mereka dengan cara yang matang dan rasional. Ingatlah, mereka sudah
besar, mereka ingin dilayan seperti orang dewasa juga. Kadar
intelektual mereka perlulah dihargai. Gunakanlah cara sehikmah yang
mungkin untuk melakukan "penyelidikan" terhadap anak-anak muda.
Jikalau
anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka
masih lagi menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah,
keberanian mereka untuk menyuarakan permintaan tersebut menunjukkan
kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat permintaan
sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan
akhlak.Yakinlah, jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk
berkahwin mereka mampu. Jika mereka memilih untuk tidak berkahwin dan
meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun mereka mampu.
Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin,
pertimbangkanlah ia dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca
keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil lagi. Mereka juga bukannya
terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang mereka
suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta
kesungguhan mereka untuk menjaga nama baik keluarga.
Apakah langkah seterusnya?
Berbincang
dengan mereka. Rasionalkan pemikiran mereka untuk melihat sesuatu
dengan pandangan yang jauh. Dorong mereka untuk merancang dan bersikap
realistik. Timbulkan segala kemungkinan dan kebarangkalian yang bakal
mereka hadapi dan bantu mereka untuk mencari solusinya. Bukakan
pemikiran mereka untuk melibat sudut-sudut yang mungkin mereka terlepas
pandang. Apa yang lebih penting, berikan peluang untuk mereka
mengutarakan pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka. Perlu
diingatkan sekali lagi, mereka telah pun dewasa dan pemikiran mereka
bukan lagi pemikiran anak-anak.
Seperkara yang penting juga,
janganlah terlalu membuat keputusan melulu. Ada sesetengah ibu bapa
yang langsung mencemuh, memperlekehkan dan terus menutup peluang untuk
anak-anak mereka bersuara. "Dah gatal!", "Belajar dulu!", "Dah tak
tahan lagi!", "Awak tu muda lagi!", "Janganlah hampakan harapan mak!"
dan pelbagai ayat yang berbentuk cemuhan, prejudis dan juga mematikan
hujah tidak akan membantu. Sekali lagi perlu diingat, mereka bukan lagi
anak-anak kecil.
Setelah anda mendengar pendapat mereka, yang
sebaiknya berkenalanlah dengan pasangan anak anda itu. Perbincangan di
antara si ibu dan si ayah sebelum memberikan apa-apa keputusan kepada
si anak amat penting. Sekali lagi perlu diingatkan, jangan emosional
dan jangan terburu-buru di dalam membuat keputusan.
Ingatlah,
anak-anak muda zaman kini hidup di dalam persekitaran yang serba
mencabar. Walaupun kita telah mengawal sebaik mungkin di rumah, namun
apa yang mereka dapat dari media, dari rakan-rakan dan juga dari tempat
pengajian jauh lebih banyak. Di dalam dunia global, tiada sesiapa yang
dapat menghalang orang lain daripada mengakses kepada apa-apa maklumat.
Persekitaran dan juga suasana yang serba moden dan mencabar ini akan
sentiasa membawa kepada pengingkaran terhadap perintah Tuhan.
Satu-satunya cara untuk anak-anak muda yang telah mula terjebak dengan
"cinta" dan juga "pacaran", adalah dengan bernikah.
Mungkin ibu bapa
akan terfikirkan mengenai prestasi pembelajaran anak-anak yang bakal
merudum selepas perkahwinan. Mungkin juga ada di antara ibu bapa yang
begitu skeptik dan merasakan bahawa anak-anak mereka tidak akan dapat
menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran selepas perkahwinan.
Sesuatu yang biasa juga bagi ibu bapa yang mengandaikan seribu satu
andaian liar. Bagi yang mempunyai anak-anak perempuan, maka mereka akan
terfikrikan, Bagaimanakh nanti anak-anak mereka akan dapat membahagikan
masa untuk pelajaran dan melayan suami, Mereka juga terfikir, bagaimana
pulakah jika anak mereka mengandung?, melahirkan anak?
Bagi mereka
yang mempunyai anak lelaki pula terfikirkan, bagaimanakah anak mereka
berupaya menanggung anak orang lain. Mereka juga terfikirkan, mampukah
anak-anak mereka membimbing dan menjaga "anak gadis" orang. Akhirnya,
kesemua andaian-andaian dan prejudis tersebut diterjemahkan kepada
penolakan. "Tunggu sehingga habis belajar!", "Kami tak menolak pilihan
awak, Cuma awak kena tunggu sehingga dapat kerja yang baik!".
Kesemuanya menjadi jalan keluar kepada ibu bapa yang malas berfikir,
ataupun berfikiran kolot ini. Jalan mudah diambil demi memudahkan
kerja-kerja mereka. Akhirnya, sang anak yang tidak dapat melawan nafsu
pun terus berpacaran, dan bergelumang dengan dosa "khalwat" dan
berpegangan tangan. Bagi yang tidak mempu membendung nafsu, akhirnya
mereka terjerumus ke lembah zina…kesemuanya kerana pemikiran kolot si
ibu dan ayah.
Ibu bapa moden perlu berfikiran terbuka. Adalah lebih
baik mereka berkorban material dan tenaga demi menjaga kesucian susur
galur keluarga mereka. Sepatutnya ibu bapa moden bersikap konstruktif
dan bukannya negatif. Apalah salahnya jika mereka membantu anak-anak
yang ingin berkahwin itu dari segi material. Berikan juga sokongan
moral. Berikan sokongan dan bimbingan. Berikan tunjuk ajar, dan berikan
mereka "fulus". Bukankah mengkahwinkan anak perempuan di usia muda
mereka merupakan sunnah?, bukankah membantu anak-anak untuk mengelakkan
diri dari melakukan maksiat adalah wajib? …Fikirkan!
Hidup manusia
telah berubah, gaya kehidupan juga berubah, teknologi juga berubah,
maka sudah sampai waktunya para ibu bapa moden juga berubah. Pemikiran
yang kolot serta terlalu mengongkong tidak akan membantu anak-anak muda
mereka. Pemikiran yang terlalu liberal dan tidak kisah juga
membahayakan. Apa yang kita perlukan adalah pemikiran yang Islamik dan
realistik. Kita juga mahukan pemikiran yang berdasarkan "fiqh al-Waqi’"
(fiqh realiti). Biarlah minda kita selari dengan zaman.